Oleh: Dr. Hamdi Fattouh Waly
Sejarah mengesahkan fakta yang diketahui muda dan tua, guru dan pelajar, iaitu negara terbesar di dunia Islam dan yang paling ramai penduduk telah memeluk agama Islam tanpa sebarang peperangan dan pertempuran, bahkan tanpa mereka lihat seorang pun daripada sahabat Rasulullah saw yang memegang panji-panji penaklukan di jalan Allah.
Anda boleh merujuk kepada buku-buku sejarah untuk mengetahui bagaimana Islam masuk ke Asia, Indonesia, Malaysia, Tanah Melayu dan Filipina, Singapura, China dan lain-lain dari negara ini; untuk melihat fakta yang jelas. Terbukti bahawa sebab bagi kemasukan negara-negara ini dalam Islam adalah dengan ‘senjata’ yang menakjubkan, iaitu melalui akhlak yang baik, layanan yang baik, dan kemampuan luar biasa untuk menzahirkan Islam melalui tingkah laku yang diamalkan, akhlak yang diterapkan dan keyakinan yang mendalam dan kepercayaan kepada Tuhan.
Senjata yang halus, lembut, dan indah inilah yang digunakan oleh Rasulullah saw dalam menggerakkan dakwahnya kepada orang-orang Arab di Mekah, sebagai mempraktikkan friman Allah SWT (bermaksud):
“Terimalah apa yang mudah engkau lakukan, dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya).” (Al-A’raf: 199)
Dan Allah mengajar cara untuknya bekerja dan jalan untuk sampai kepada hati manusia dengan firman-Nya (bermaksud):
“Katakanlah (wahai Muhammad): "Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada ugama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain." (Yusuf: 108),
Allah turut memuji baginda dengan keistimewaan yang diberikan kepadanya dan kemuliaan akhlak yang ada padanya. Firman Allah SWT bermaksud):
“Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.” (al-Qalam: 4),
Allah SWT turut mengajar kita bahawa cara yang paling mudah untuk sampai ke lubuk hati manusia adalah melalui lemah lembut, akhlak yang baik, memaafkan, memohon keampunan, merendah diri kepada manusia dan membuang sifat ego. Inilah yang kita fahami daripada firman Allah SWT (bermaksud):
“Dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya. (Ali-Imran: 159).
Allah SWT turut menyebut secara khusus dengan perintahNya supaya merendah diri kepada manusia dalam ayat (bermaksud):
“dan sebaliknya hendaklah engkau merendah diri kepada orang-orang yang beriman (sekalipun mereka dari golongan fakir miskin.” (Al-Hijr: 88),
Dan diulangi di dalam ayat (bermaksud):
“Dan hendaklah engkau merendah diri kepada pengikut-pengikutmu dari orang-orang yang beriman.” (As-Syu`ara’: 215).
Allah tidak memuji kehinaan dan kelemahan dalam setengah keadaan melainkan ketika seorang saudara berdakwah untuk saudaranya dan beliau berurusan dengannya dalam ayat yang menggambarkan akhlak orang yang beriman:
“Mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir.” (Al-Maidah: 54)
Dan menggambarkan mereka dalam ayat lain dengan kasih sayang antara satu sama lain:
“Dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam).” (Al-Fath: 29).
Allah SWT telah menunjukkan kepada kita cara yang paling baik dan berkesan untuk sampai ke lubuk hati manusia melalui firman-Nya (bermaksud):
“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!". Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat. (Fussilat: 33-35).
Rasulullah saw turut menunjukkan kita satu senjata yang optima untuk membuka minda dan mendekati jiwa dengan mengatakan (bermaksud):
"Tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman dan kamu tidak dianggap beriman sehingga kamu saling cinta-mencintai. Mahukah saya tunjukkan kepada kamu sesuatu amalan yang jika kamu melakukannya nescaya kamu akan saling cinta-mencintai? Sebarkanlah salam di antara kamu." (Riwayat Muslim)
Para pendakwah adalah orang yang hidup bersama Allah yang mengalir di dalam jiwanya makna-makna belas kasihan, kemesraan dan kasih sayang, iaitu mereka sentiasa bimbangkan kesudahan yang buruk kepada manusia dengan memberikan kasih saying dan belas kasihan terhadap manusia. Inilah akhlak Rasulullah saw:
“Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.” (At-Taubah: 128).
Disedut dari blog ustaz Suhaimi
No comments:
Post a Comment